Selamat Menyambut Kemerdekaan ke-53

KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-53 peringkat nasional meriah dan mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya diadakan di ruang tertutup di Stadium Putra di Bukit Jalil, bagi menghormati kemuliaan Ramadan.

Stadium yang sering kali menjadi tumpuan acara sukan, pelbagai konsert hiburan dan acara pertandingan berprestij seperti Anugerah Juara Lagu, pada hari Selasa bertukar wajah apabila dilimpahi dengan warna-warni semangat 1Malaysia.

Bertemakan "1Malaysia Menjana Transformasi", sambutan Hari Kemerdekaan kali ini memuatkan pengisian agenda yang berbeza dari tahun-tahun lepas apabila tiada acara perbarisan dan perarakan bagi menghormati bulan puasa.

Tampil segak, berwajah segar serta bersemangat waja, lebih 10,000 orang hadir bersama keluarga masing-masing dengan menggenggam erat Jalur Gemilang untuk dikibarkan pada acara kemuncak sambutan.
Acara sambutan bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah tepat pukul 8 pagi diikuti dengan tiupan nafiri.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta menteri-menteri Kabinet tiba lengkap berbusana batik 1Malaysia selain duta-duta asing dan pemimpin parti-parti politik.

Ketibaan tetamu kehormat disambut lambaian dan sorakan kira-kira 940 kontinjen pelambai yang berbaris di sepanjang jalan yang terdiri daripada 500 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan 440 pelajar Unit Diploma Pengurusan Awam, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

1MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI
(1 Malaysia, Generates Transformation)
Melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.
Mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir, dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form