Persediaan Menghadapi Ramadhan


Pada kebiasaannya manusia begitu bersedia dan waspada dalam menghadapi sesuatu peristiwa atau tugas penting. Segala-galanya dipastikan tersedia dan siap siaga lebih awal. Sekaligus ia melambangkan sikap peribadi kita terhadap sesuatu yang besar dan penting itu.

Sebelum menghadapi peperiksaan kita bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran. Sebelum mendirikan rumahtangga kita lemas dalam menyediakan keperluan hidup. Sebelum sesuatu pertandingan sukan setengah orang bersungguh-sungguh membina kekuatan dan kemahiran fizikal.

Kini telah separuh bulan Syaaban kita lalui. Tidak lama lagi Ramadhan akan menjelang tiba. Bagaimana persediaan kita menghadapi bulan yang barakah itu?

Puasa yang diterima Allah ialah yang cukup syarat lahir dan batinnya. Puasa yang diterima bererti juga seseorang itu sudah mencapai taqwa. Jika kita tidak bersedia dan bersungguh-sungguh kita hanya mendapat lapar dahaga dan letih semata-mata.

Ertinya puasa Ramadhan dapat melatih kita mendisiplinkan diri sebagaimana disiplin orang bertaqwa. Iaitu selain tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa, juga mesti memelihara anggota lahir dan batin dari melakukan dosa dan maksiat.

Seperti memasuki kem bina semangat, atau kursus tata negara atau sebarang kursus untuk meningkatkan kualiti, di bulan Ramadhan bererti memasuki kursus yang disediakan Allah supaya disiplin jasmaniah dan rohaniah sepanjang Ramadhan dibawa dalam mengharungi kehidupan pada 11 bulan yang lain.Begitulah sangat penting dan besar ertinya kedatangan Ramadhan kepada kita.

Bagi setengah orang-orang soleh telah menjadi tradisi bagi mereka berpuasa sejak bulan Rejab dan Syaaban sebelum Ramadhan. Itulah cara mereka bersedia menghadapi ketibaan bulan Ramadhan, raja segala bulan. Kedatangan Ramadhan bagi mereka adalah suatu yang sangat dinanti-nantikan dan berlalunya diiringi dengan rasa sedih dalam kesyukuran. Ramadhan juga mengingatkan kita agar selalu bersedia untuk menghadapi mati ketika kita masih hidup!

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form