Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 1431H/2010M

Sukacitanya dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 1431H/2010M pada ketetapan seperti berikut :
Tarikh : 27 Julai 2010 sehingga 3 Ogos 2010 /
15 sehingga 22 Syaaban 1431H
Tempat : Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Seramai 76 peserta dari 47 negara akan mengambil bahagian dalam Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-52 . Jumlah itu meningkat berbanding 66 peserta dari 43 negara tahun lalu. Empat negara yang pertama kali menghantar peserta tahun ini ialah Tazakhstan, Surinam, Zambia dan Djibouti.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, daripada 76 peserta itu, 47 adalah qari, manakala 29 lagi adalah qariah.
"Tilawah bertema "Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah" itu akan berlangsung selama lapan malam," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, tema itu dipilih memandangkan umat Islam kini semakin alpa dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dan menjadi kewajipan sesama Muslim untuk saling ingat mengingati dan mempereratkan lagi hubungan agar setiap ancaman serta tohmahan dapat diatasi. "Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin akan berangkat menyempurnakan perasmian tilawah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah," katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dijangka turut hadir.

Wan Mohamad berkata, Malaysia akan diwakili qari Wilayah Persekutuan Wan Ainuddin Abdullah dan qariah Johor Nor Azrah Ayub yang masing-masing muncul johan qari dan qariah Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-53 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru.

Beliau berkata, johan qari dan qariah akan membawa pulang piala pusingan, piala iringan, wang tunai RM15,200 (AS$4,000) serta cenderamata dan sijil penyertaan.
Naib johan pula akan menerima wang tunai RM11,400 (AS$3,000), cenderamata dan sijil penyertaan, manakala tempat ketiga akan menerima wang tunai RM7,600 (AS$2,000), cenderamata dan sijil penyertaan.
Katanya, para peserta lain pula membawa pulang wang tunai RM3,800 (US$1,000), cenderamata dan sijil penyertaan.

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form