Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.
Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
(( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ)) رواه مسلم.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya
dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang
tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].
Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari
selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama
setahun.
Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan
mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari
sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari
sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari
dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai
jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt
maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang
dikehendaki-Nya.
Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.
Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang
tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan
penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam
badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan
Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan
diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari
selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali
kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara
beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.
Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt,
alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita
di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun
sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak
melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan
tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar
bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata
ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan
Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.
Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.
Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh:
“Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad,
Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa
enam hari (pada bulan Syawal).
Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh.
Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian
dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa
Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]
Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini
kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari
berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:
( أَنَّ رَسُولَ اللهِ r نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ ) رواه مسلم.
Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].